Tuesday, June 22, 2010

Bagaimana Sebuah Penyamanan Udara Bekerja


Cara kerja peti sejuk dan penyamanan udara bekerja adalah sama. Perbezaannya ialah peti sejuk menyejukan dalam kuantiti yang kecil, dalam ruangan yang disediakan dalam peti sejuk. Manakala penyamanan udara menyamankan sesebuah bilik, rumah atau pejabat urusan perniagaan.

Penyamanan udara menggunakan bahan kimia yang mudah ditukarkan dari gas ke cecair dan dari cecair ke gas semula. Bahan kimia ini digunakan untuk memindahkan haba daripada udara dalam bilik ke luar bilik. Bahan kimia ini dikenali sebagai bahan pendingin.

Tiga komponen penting dalam menjalankan sistem penyamanan udara ini ialah pemampat, pemeluwap dan penyejat. Pemampat dan pemeluwap biasanya berada diluar bilik. Penyejat pula berada di ruang yang ingin didinginkan.

Bahan pendingin akan memasuki pemampat berbentuk gas, bersuhu rendah dan bertekanan rendah. Pemampat akan memampatkan bahan pendingin. Pemampatan ini menyebabkan molekul bahan pendingin padat, rapat dan meninggikan tenaga serta suhunya.

Bahan pendingin meninggalkan pemampat dalam bentuk gas yang bersuhu tinggi dan bertekanan tinggi. Bahan pendingin akan beredar ke pemeluwap. Jika anda lihat di bahagian luar penyamanan udara, anda akan dapat melihat banyak sirip disekeliling pemeluwap. Sirip ini berfungsi seperti radiator kereta dimana membantu menyingkirkan haba dengan cepat.

Apabila bahan pendingin meninggalkan pemeluwap, suhunya semakin rendah dan berubah dari gas ke cecair yang masih bertekanan tinggi. Cecair bahan pendingin mengalir ke penyejat melalui saluran yang berlubang sangat halus dan sempit (saluran ini dikenali sebagai peranti pemeteran). Dengan itu, tekanan bahan pendingin jatuh menjadi rendah.

Di penyejat cecair bahan pendingin akan bertukar kepada gas kerana menyerap haba daripada udara disekeliling udara dalam bilik. Penyejat juga mempunyai banyak sirip untuk membantu penyerapan haba dengan lebih berkesan.

Bahan pendingin yang meninggalkan penyejat berbentuk gas, bersuhu rendah dan bertekanan rendah akan memasuki pemampat. Maka proses pemampatan bermula semula. Proses ini akan berterusan sehingga suhu bilik mencapai suhu pilihan pengguna. Bebuli termostat akan memutuskan sistem penyamanan udara apabila suhu pilihan telah tercapai dan menghidupkan semula penyamanan udara bila suhu bilik mulai meningkat.

Asmirin.

1 comment: